30 November 2010

                     

Bila direnung dalam diri, banyak keajaiban yang tersembunyi. Menariknya manusia ini tatkala lahirnya, sama sahaja. Hujungnya pun sama. Kematian yang diratapi dengan tangisan. Cuma di tengah-tengahnya sahaja yang sedikit berbeza.
Hari ini kita berbicara tentang rahsia alam yang seterusnya. Tajuknya antara saya dan dia. Macam kisah cinta pula =)
Ada 10 barang di hadapan. Kerusi, meja, printer, scanner, lampu, cawan, mangkuk, buku, pensel, pemadam dan pen. Seorang kanak-kanak diminta untuk mengambil sebanyak mungkin barang yang boleh diangkutnya menggunakan tangan beliau. Hanya sekali angkutan sahaja dibenarkan.
Ali, kanak-kanak ceria berumur 7 tahun, memilih untuk mengambil buku, pensel, pemadam dan pen. Yang lain tidak perlu. Tidak boleh melukis katanya.
Samad, 10 tahun umurnya, memilih untuk mengambil meja. Di atas meja diletakkan printer, scanner, lampu, buku, pemadam, dan pen. Bijak. Memanfaatkan setiap ruang yang ada.
Comot, kanak-kanak comel berusia 1 tahun memilih untuk mengambil pensel, pen dan pemadam. Semestinya tidak mampu dijawab oleh Comot kenapa dia memilih 3 objek itu. Cuma yang pastinya, itulah objek yang dapat dicapai dan dimasukkan ke dalam mulut beliau.
Tiga kanak-kanak yang berbeza dengan tiga hasil yang berbeza.
Kesimpulannya tidak ada seorang pun yang mampu untuk mengambil kesemua barangan di atas dalam satu masa. Hatta jika diminta mereka yang sudah berusia pun, tugas ini bukannya mudah.
Demikian cerita disampaikan oleh Mr. X tempoh hari. Ada falsafah yang ingin diterangkan. Mudah dan ringkas.
Dalam hidup ini kita ada banyak benda yang hendak dibuat. Dan kebanyakan orang hendak buat semua benda dalam satu masa. Tetapi percayalah kita hanya mempunyai dua tangan kurniaan Tuhan. Maksudnya, kita ada had limit tersendiri. Maka dalam perjuangan, yang pertama kenallah diri kita sendiri.
Yang kedua, dalam kehidupan mesti ada pilihan. Dan dalam memilih, kita pastinya ingin memilih yang terbaik untuk kita. Pilih yang prioriti kata orang. Namun dalam meletakkan prioriti inilah kita berbeza pendapat. Sama ada kita meletakkan Islam sebagai pilihan pertama atau nafsu kita sebagai Raja.
"Aku kena check facebook sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Kalo tak, tak tenteram hidup aku. Ni kira masa untuk diri aku sendirilah. Orang lain kena faham la beb."
Mungkin contoh yang tidak ekstrim tapi saya kira senang difahami maksudnya. Ramai orang meletakkan kepentingan diri mendahului kepentingan Ilahi. Hingga kita lupa sebenarnya kita adalah hamba Allah s.w.t.
Apakah menjadi satu kebiasaan untuk seorang hamba membuat kerja ikut suka hati?
Kita tamatkan cerita ini di sini. Pesan Mr. X lagi, ilmu itu untuk dinikmati. Baca sahaja tidak terasa manisnya, kena buat baru mengerti maksudnya. ^___^

No comments: