15 February 2011

Selamat Menyambut ♥ Hari Kelahiran Junjungan Besar Kita Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam ♥

                    


Tercipta satu lembaran sejarah
Di tanah suci kota mekah
Hari yang indah penuh sejarah
Bermula lah sebuah kisah
Malam isnin subur yang indah
12 Rabiul Awal yang cerah
20 April tahun gajah
Lahirlah zuriat dan cahaya
Muhammad SAW nama diberi
Gelaran yang terpuji
Riang gembira dalam suasana
Menyambut putra yang pertama
Abdullah nama bapanya
Siti Aminah ibunya

Hari ni merupakan cuti Umum di seluruh Negara untuk menyambut ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasalam dan kebiasaannya pada hari ini seluruh negara akan meraikan dengan penuh penghormatan dan penghayatan dengan mengadakan pelbagai acara keagamaan di seluruh negara seperti perarakan sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasalam , ceramah agama, nasyid, berzanji, meraikan golongan fakir dan miskin.

Kelahiran Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam mengubah kehidupan umat manusia di dunia daripada masyarakat yang dulunya kufur bertukar menjadi taat dan mentauhidkan Allah. Jelaslah kelahiran Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasalam benar-benar membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Itulah rahmat dan nikmat daripada Allah mengutus junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasalam ke muka bumi ini.

Allah berfirman yang bermaksud, "Dan tiada Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Perjuangan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam menyebarkan dakwah Islam penuh dengan peristiwa pahit dan getir. Baginda menempuh pelbagai ancaman dan halangan; menghadapi bermacam kesengsaraan, penderitaan dan penindasan. Namun begitu, Baginda tetap tabah, sabar dan tidak putus asa menjalankan perintah serta amanah Allah. Akhirnya Baginda berjaya menegakkan kebenaran di muka bumi ini. Lihatlah betapa besarnya pengorbanan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam dalam menghadapi kekufuran dan kezaliman musuh Islam.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam adalah manusia pilihan dan paling istimewa. Oleh itu, Allah memperlengkapkan Baginda dengan budi pekerti mulia. Peribadi baginda benar-benar luhur, manakala jiwa dan hatinya pula suci bersih. Dengan memiliki keperibadian unggul Baginda berjaya melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab diamanahkan Allah kepadanya.

Keunggulan keperibadian Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasalam dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah  dan balasan baik pada hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu dalam masa susah dan senang." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Kehidupan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasalam mengandungi pengajaran dan contoh teladan yang baik. Jika diikuti, maka kehidupan manusia seluruhnya akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Banyak contoh ditunjukkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam dalam mentaati dan beriman kepada Allah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia seperti ibadah, muamalat, politik, hubungan kemasyarakatan dan akhlak. Baginda juga pemimpin agama, negara, suami, bapa, pendidik, pendakwah dan pejuang.


Kejayaan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam yang paling ketara apabila Baginda berjaya mengubah jiwa manusia daripada sifat kebatilan kepada kebenaran; kezaliman kepada keadilan dan kemunduran kepada kemajuan.

Hasilnya, lahirlah manusia yang bertakwa kepada Allah dan cintakan kebaikan. Contohnya, Saidina Umar al-Khattab yang pada mulanya seorang yang memusuhi Islam menjadi komited dengan ajaran Islam, berperibadi mulia dan dihormati. Begitulah juga Bilal bin Abi Rabah, seorang sahabat yang tabah dan sabar menghadapi penderitaan akibat penyeksaan musuh Islam demi menegakkan agama Islam.

Sempena bulan mulia ini, umat Islam diseru supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mengingati sejarah pengorbanan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam dalam menegakkan agama Islam dengan membanyakkan selawat kepadanya.

02 February 2011

♥ ♥ ♥ Tamparan ♥ ♥ ♥ Seorang ♥ ♥ ♥ Ustaz ♥ ♥ ♥

Seorang pemuda yang sudah lama menuntut di luar Negara kembali ke tanah air. Tibanya di rumah, dia meminta bapanya mencarikan seorang guru agama, ustaz ataupun sesiapa sahaja yang dapat menjawab tiga pertanyaannya. Akhirnya bapa pemuda itu mendapatkan seorang ustaz.

Pemuda : Ustaz ini siapa? Bolehkah ustaz menjawab pertanyaan-
pertanyaan saya?

Ustaz : Saya hamba Tuhan dan dengan izinnya saya menjawab
pertanyaan saudara.

Pemuda : Ustaz yakin? Sedangkan profesor dan ramai orang pintar tidak
mampu menjawab pertanyaan saya.

Ustaz : Saya akan cuba sedaya upaya mampu.

Pemuda : Saya ada tiga pertanyaan iaitu:
1. Sekiranya Tuhan itu ada, tunjukkan kepada saya yang Tuhan itu wujud
2. Apa yang dinamakan takdir, dan
3. Sekiranya syaitan diciptakan dari api, kenapa dimasukkan ke neraka
yang diperbuat daripada api, tentu tidak menyakitkan syaitan. Sebab
mereka mempunyai unsur yang sama. Apakah Tuhan tidak pernah
berfikir?

Tiba-tiba ustaz itu menampar pipi pemuda tadi dengan keras.

Pemuda : Kenapa marah saya? (sambil mengusap pipi, menahan
sakit)

Ustaz : Saya tidak marah.. Tamparan itu adalah jawapan saya atas
tiga pertanyaan yang saudara ajukan kepada saya.

Pemuda : Macam mana pula?

Ustaz : Bagaimana rasanya tamparan saya?

Pemuda : Tentu sakit.

Ustaz : Jadi saudara percaya sakit itu ada?

Pemuda : Sudah tentu!

Ustaz : Tunjukkan saya sakit itu?

Pemuda : Tentu tidak boleh.

Ustaz : Itulah jawapan soalan pertama. Kita semua rasa
kewujudan Tuhan tanpa mampu melihat kewujudannya.

Ustaz : Apakah malam tadi saudara bermimpi ditampar oleh saya?

Pemuda : Tidak.

Ustaz : Saudara pernah terfikir akan menerima tamparan daripada
saya hari ini?

Pemuda : Tidak.

Ustaz : Itu yang dinamakan takdir. Tangan yang saya gunakan
menampar saudara dibuat daripada apa?

Pemuda : Kulit.

Ustaz : Pipi saudara dibuat daripada apa ?

Pemuda : Kulit.

Ustaz : Bagaimana rasanya tamparan saya ?

Pemuda : Sakit.

Ustaz : Walaupun syaitan dijadikan daripada api dan neraka juga
dibuat daripada api, sekiranya Tuhan menghendaki, maka
neraka menjadi tempat yang menyakitkan bagi syaitan.

♥ ♥ ♥ Adakah ♥ ♥ ♥ Aku ♥ ♥ ♥ Perlu ♥ ♥ ♥ Mencuba ♥ ♥ ♥ Cinta ? ♥ ♥ ♥

Hari-hari yang ku lalui penuh dugaan. Sebagai pelajar agama, dugaan 'virus merah jambu' menjadi salah satu faktor aku bermuram durjana. Pergi ke sekolah dengan keadaan tidak selesa dan muka masam mencuka. Kawan-kawanku ada juga yang bertanya. Pernyataan mereka tidakku jawab. Aku hanya mendiamkan diri. Biarlah rahsia.
Kawan-kawanku ada yang mula memerhatikan sikapku. Sama sekali berubah. Daripada banyak berceloteh, menjadi senyap. Mereka tanya sepatah, aku jawab sepatah. Dalam hatiku, entah kenapa. Rasanya seperti tiada pengisian.
Hal-hal cinta ini semakin rancak apabila umurku 15 tahun. Kata orang umur 15 tahun memang zaman mencuba. Tapi adakah aku perlu mencuba bercinta? Sesekali soalan itu menjengah ke dalam kotak fikiran. Sebagai seorang remaja, sememangnya soalan sebegitulah yang menemaniku setiap hari. Namun aku biarkan tanpa jawapan.
Seawal tingkatan 4, aku mengenali seseorang. Pastinya dia adalah seorang lelaki. Saat itu aku rasa duniaku berbunga-bunga. Seperti 'Aku Yang Punya' . Oh, indahnya cinta. Aku mula mengenalinya.

Mula-mula kawan. Aku mengajak dia ke arah kebenaran. Malangnya, sekadar kata-kata kosong, aku rasa dia langsung tak ikut. Aku tak tahu nak buat apa. Kata dia, dia nak berubah kalau aku yang ajar dia jadi baik. Ok. Aku ajar dia, cakap elok-elok. Berdakwah. Dalam diam-diam aku juga turut menyimpan perasaan.
Semakin hari, hubungan kami semakin rapat. Akhirnya, dia meluahkan perasaan. Tanpa pengetahuan yang begitu mendalam, aku solat hajat banyak-banyak, minta ketenangan. Tapi, keresahan yang aku dapat.
Lalu aku memutuskan untuk menukar nombor telefon. Aku tinggalkan dia di belakang. Tapi, aku tekad. Ini adalah cara yang terbaik. Dan selepas itu, aku tidak lagi berpaling ke belakang, tidak lagi menghubunginya kembali atau mengingati. Semuanya telah aku lupakan. Pertolongan Allah. Siapa tahu?
**********
Tahun berikut.
Aku rasa diriku semakin terisi dengan nilai-nilai agama. Alhamdulillah, berkat kesungguhanku untuk berubah lebih baik. Namun, dugaan tidak terhenti di situ saja. Sampai satu masa, aku mengenali seorang lelaki yang bernama 'E' (bukan nama sebenar).
Meskipun dia lebih tua dariku, tapi bagiku dia banyak ilmu. Sejak itu aku rasa ingin 'berguru' dengannya. Seringkali dia menghantar 'wasiat Islam' kepadaku. Membuatkan aku hampir jatuh cinta. Siapa tak nak orang soleh kan? Tapi satu hari, dia berkias menyatakan perasaannya kepadaku. Aku jadi serba salah. Kebetulan ayahku baru pulang dari majlis ilmu. Membawa pulang buku '1001 Soal Jawab Wanita Dan Agama.'
Ku belek buku setebal 2 inci itu, dan membacanya.
"Astaghfirullahalazim! Apa yang telah aku lakukan? Bukankah berhubung dengan berlainan mahram sehingga membibitkan perasaan cinta itu HARAM? Berdosa?"
Sebenarnya, aku juga tahu tentang hal itu, tapi tidak menyeluruh. Mungkin, buku ini penyumbang hidayah kepada diriku yang selalu lalai ini. Terasa sangat berdosa rasanya! Bagaimana akanku hadapi neraka nanti? Sungguh, hal itu membuka mataku seluas-luasnya agar terhindar dari perbuatan zina hati terutamanya.
**********
Esoknya.
Aku memberitahu E bahwa aku ingin mengutus sepucuk emel kepada dia. Sebelum itu, aku menghulurkan kata maaf atas segala silapku. Ku taip emel itu. Memang terasa beratnya. Lalu ku tekan send.
Antara isi emel tersebut :
Dan tidaklah patut bagi seorang lelaki Mukmin dan perempuan Mukmin apabila Allah dan rasulnya menetapkan satu ketetapan, akan ada bagi pilihan (yang lain) tentang urusan mereka, dan sesiapa menderhakai Allah dan rasulnya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata. (Surah Al Ahzab 33:36)
Ku tundukkan wajah, tanda puas. Keredhaan Allah mesti aku cari.
Selama 2 jam duduk berbalas Twitter tiba-tiba kepalaku terasa berat. Pening. Sakit tekak. Yang penting, demam! Ya Allah, demam yang jadi? Apakah diriku terlalu berat atau ini cuma kafarah dosa sahaja? Natijahnya biar Allah yang tentukan.
********
2 hari selepas itu.
Entah kenapa, selepas kesembuhanku dari demam, aku hanya mengingati mati. Tiada yang lain. Aku termenung, duduk, bangun, semuanya terlintas hal MATI. Mungkinkah aku akan mati sekejap lagi? Masyaallah! Berandaian itu membuka pintu syaitan!
Ku ubah hala niatku, mungkin akalku inginkan 'makanan' hari ini. Nabi juga ada bersabda:
"Orang yang mengingati mati adalah orang yang bijak."
Aku dan keluarga berangkat ke majlis ilmu yang berlangsung di Kelantan. Kami sampai di rumah jam 11 malam. Oh, penat. Adik-adikku semuanya sudah tidur dibuai mimpi. Aku yang masih belum menunaikan solat Isyak, cepat-cepat menunaikanya. Ku sentuh dahiku. "Oh, masih demam lagi rupanya."
Sesudah solat Isyak, aku duduk di antara dua sujud, dan berdoa, kemudian mengaminkan. Tiba-tiba, hatiku sakit. Rasa derita. Teringat mati lagi. Ingatanku pada hari itu sungguh kuat, lain daripada biasa. Memandangkan wudhu'ku yang masih lagi belum terbatal. Segera aku menunaikan solat Isyak untuk kali kedua. Untuk mengqada'kan solatku yang lepas. Sungguh berdosa diriku ini.
Alunan doa syahduku perdengarkan, kepada Tuhan aku pohonkan.
"Ya Allah, sesungguhnya kaulah yang Maha Pengasih lagi mengetahui tentang diriku. Hamba seperti fakir miskin yang meminta diberikan sedekah. Sungguh hina diri hamba di hadapan-Mu ya ALLAH. Ampuni segala dosa-dosa hamba. Ampuni segala dosa kedua ibu bapa hamba. Permudahkanlah urusan mereka di dunia dan di akhirat.
"Ya Allah, entah kenapa, hamba hanya mengingati mati saja malam ini. Adakah hamba sudah ditakdirkan untuk bertemu denganmu? Ya Allah, dengarlah rintihan hambamu ini ya Allah. Hamba tidak sanggup berada di dalam neraka-Mu. Tapi hamba juga tidak layak bersama para wali-Mu. Hamba terlalu miskin. Miskin beribadah pada-Mu ya Allah. Berikanlah hamba hidayah dan sinar kebahagiaan. Tempatkanlah hamba dikalangan orang yang kau kasihi.
Amiin Ya Rabbal Alamin..."
Linangan air mata membasahi kain sembahyangku. Sungguh tidak tertahan. Malam itu benar benar menjadi saksi antara aku dan Tuhanku. Terasa berdosa saat berhadapan dengan-Nya, layakkan aku ke syurga tanpa amalan yang sempurna? Linangan air mata jatuh berjurai lagi, memang benarlah firman Allah : "Dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang."
Ku teruskan lagi malam pengabdianku. Sungguh, aku merasa belum sempurna ibadahku. Aku membuka buku Solat-Solat Sunat, untuk kali pertama aku menunaikan solat sunat hajat dengan sepenuh hati. Kemudian, aku melakukan solat sunat tasbih. Rasulullah s.a.w menganjurkan umat Islam mengamalkannya pada setiap malam. Jika tidak dapat setiap malam, amalkan seminggu sekali, atau setahun sekali ataupun paling kurang sekali seumur hidup. Dengan izin Allah hendaknya.
"Semoga Allah menerima taubatku pada malam ini."
************
Pada rakaat pertama, aku mulakan bacaan. Bacaanku tartil hari itu. Tajwid yang elok. Aku bangun, untuk rakaat kedua. Aku mulakan dengan Al-Fatihah, air mata ini tidak dapat ku tahan, kerana terasa kesyahduan solat malam kemudian aku membaca Surah Al-Asr. Ketika mengalunkan bacaan, terasa kakiku seperti ditarik. Tiada siapa yang mendengar pekikanku. Hanya Allah s.w.t. sahaja.
Terasa nyawaku dicabut. Bermula dari hujung kakiku, menjadi bersimpul kemudian naik ke pinggang. Ya Allah, ketika itu aku menjerit semahunya! Namun, jeritan yang tidak dapat didengari oleh orang lain sama sekali. Nyawaku di hujung helaan, aku sama sekali tidak dapat bernafas panjang. Suaraku tersekat-sekat. Adakah Allah bakal menarik nyawaku malam ini?
Aku berlawan dengan nafas pendek itu. Aku menangis semahunya. Menangis kerana nyawaku yang bakal dicabut Allah. Aku mengucap dua kalimah syahadah. Berkali-kali. Dalam keadaan hanya aku seorang yang berada di dalam bilik, tanpa ditemani sesiapa, aku melawan sendirian.
Selepas membaca 40 kali tasbih, aku rukuk. Tiba-tiba nafas pendek itu berhenti. Suaraku tidak lagi tersekat-sekat, nyawaku bukan lagi di hujung helaan. Alhamdulillah! Allah mengkehendaki aku untuk terus hidup lagi di bumi fana ini.
Demamku turut hilang serta-merta. Sungguhku tak sangka. Aku melakukan sujud syukur berkali-kali. Aku menangis semahunya. Inilah hidayah yang diberikan Allah.
Hatiku hiba, bertambah sayu. Malam itu, ku mengabdikan diriku hanya pada-Nya. Dan aku pasti tidak akan dikurniakan 'nyawa ketiga' oleh Tuhanku.
Untuk hari-hariku yang mendatang, aku berazam untuk menjadi ketua muslimat, yang membawa syiar Islam ke serata dunia. Dan akulah penyambung generasi ummah! Insyaallah! Doakanku semoga jadi muslimah yang berjaya.

♥ ♥ ♥ Rintihan ♥ ♥ ♥ Seorang ♥ ♥ ♥ Hamba ♥ ♥ ♥ Allah ♥ ♥ ♥

Ya Allah...
Tidakku sedari...
Selama ini cinta-Mu tidak pernah menyepi...
Rahmat dan kasih sayang-Mu tidak pernah beranjak walau ke kanan mahupun ke kiri...
Setiap hamba-Mu tetap kau cintai...
Biarpun telah banyak dosa yang bergelumang dalam diri...
Janji pada hamba-Mu tidak pernah Engkau mungkiri...
Hanya diri ini yang sentiasa lalai dan alpa dengan nikmat duniawi...
Berikanlah kami hidayah-Mu Ya Rabbi , Ya Habibi...
Berikanlah cahaya kepada kami untuk memudahkan kami melalui jalan-jalan hidup kami yang gelap tak berpelangi...
Maafkanlah...Redhailah...