15 February 2011

Selamat Menyambut ♥ Hari Kelahiran Junjungan Besar Kita Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam ♥

                    


Tercipta satu lembaran sejarah
Di tanah suci kota mekah
Hari yang indah penuh sejarah
Bermula lah sebuah kisah
Malam isnin subur yang indah
12 Rabiul Awal yang cerah
20 April tahun gajah
Lahirlah zuriat dan cahaya
Muhammad SAW nama diberi
Gelaran yang terpuji
Riang gembira dalam suasana
Menyambut putra yang pertama
Abdullah nama bapanya
Siti Aminah ibunya

Hari ni merupakan cuti Umum di seluruh Negara untuk menyambut ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasalam dan kebiasaannya pada hari ini seluruh negara akan meraikan dengan penuh penghormatan dan penghayatan dengan mengadakan pelbagai acara keagamaan di seluruh negara seperti perarakan sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasalam , ceramah agama, nasyid, berzanji, meraikan golongan fakir dan miskin.

Kelahiran Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam mengubah kehidupan umat manusia di dunia daripada masyarakat yang dulunya kufur bertukar menjadi taat dan mentauhidkan Allah. Jelaslah kelahiran Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasalam benar-benar membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Itulah rahmat dan nikmat daripada Allah mengutus junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasalam ke muka bumi ini.

Allah berfirman yang bermaksud, "Dan tiada Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Perjuangan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam menyebarkan dakwah Islam penuh dengan peristiwa pahit dan getir. Baginda menempuh pelbagai ancaman dan halangan; menghadapi bermacam kesengsaraan, penderitaan dan penindasan. Namun begitu, Baginda tetap tabah, sabar dan tidak putus asa menjalankan perintah serta amanah Allah. Akhirnya Baginda berjaya menegakkan kebenaran di muka bumi ini. Lihatlah betapa besarnya pengorbanan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam dalam menghadapi kekufuran dan kezaliman musuh Islam.

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam adalah manusia pilihan dan paling istimewa. Oleh itu, Allah memperlengkapkan Baginda dengan budi pekerti mulia. Peribadi baginda benar-benar luhur, manakala jiwa dan hatinya pula suci bersih. Dengan memiliki keperibadian unggul Baginda berjaya melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab diamanahkan Allah kepadanya.

Keunggulan keperibadian Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasalam dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah  dan balasan baik pada hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu dalam masa susah dan senang." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Kehidupan Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasalam mengandungi pengajaran dan contoh teladan yang baik. Jika diikuti, maka kehidupan manusia seluruhnya akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Banyak contoh ditunjukkan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam dalam mentaati dan beriman kepada Allah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia seperti ibadah, muamalat, politik, hubungan kemasyarakatan dan akhlak. Baginda juga pemimpin agama, negara, suami, bapa, pendidik, pendakwah dan pejuang.


Kejayaan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam yang paling ketara apabila Baginda berjaya mengubah jiwa manusia daripada sifat kebatilan kepada kebenaran; kezaliman kepada keadilan dan kemunduran kepada kemajuan.

Hasilnya, lahirlah manusia yang bertakwa kepada Allah dan cintakan kebaikan. Contohnya, Saidina Umar al-Khattab yang pada mulanya seorang yang memusuhi Islam menjadi komited dengan ajaran Islam, berperibadi mulia dan dihormati. Begitulah juga Bilal bin Abi Rabah, seorang sahabat yang tabah dan sabar menghadapi penderitaan akibat penyeksaan musuh Islam demi menegakkan agama Islam.

Sempena bulan mulia ini, umat Islam diseru supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mengingati sejarah pengorbanan Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasalam dalam menegakkan agama Islam dengan membanyakkan selawat kepadanya.

No comments: